Amat Memalukan! Malaysia Dibelasah Teruk 10-0...

Rekod Paling Buruk Sejak Merdeka

Sukar dipercayai dan amat memalukan!  Itu sahaja yang dapat difikirkan setelah pasukan Harimau Malaya dibelasah teruk dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019. Malah sejak kita merdeka selama 58 tahun, kekalahan ini merupakan yang paling buruk pernah pasukan kita alami.

Harapan jurulatih Dollah Salleh yang mahu mencatat keputusan seri ternyata amat jauh dari jangkauan para pemainnya. Malah sejak separuh masa pertama lagi anak buah Dollah sudah ditinggalkan 7-0. Gol tuan rumah hadir pada minit ke-16,22, 24, 25, 29, 33 dan 39. Gol kelapan, kesembilan dan ke-10 dijaringkan UAE pada minit ke-70, 76 dan 78.

Untuk rekod dua perlawanan sebelum ini Malaysia sekadar seri dengan pasukan kerdil Timur Leste dan dibelasah oleh negara yang dilanda konflik, Palestin 6-0. Dalam perlawanan persahabatan dengan Bangladesh baru-baru ini Malaysia catat keputusan seri tanpa jaringan. Dalam pada itu Bangladesh yang menentang Australia hanya bolos separuh daripada gol Malaysia apabila tewas 5-0 kepada lawannya.

Lebih menarik pasukan jiran kita Singapura yang boleh dianggap berlatih di liga kita sendiri mencatat keputusan jauh lebih baik berbanding Malaysia. Dalam perlawanan menentang Syria mereka tewas tipis 1-0 dan sebelum itu mereka telah seri dengan Jepun 0-0.

Persoalannya sampai bila Malaysia harus terus mengalami kekalahan memalukan? Apakah tindakan sebenarnya yang harus diambil untuk memperbaiki dan mempertingkatkan kualiti pasukan negara sekaligus mengembalikan maruah negara yang tercemar?

Malaysia dijadualkan menentang Arab Saudi pada aksi keempat kumpulan A di Stadium Shah Alam pada 8 Sept ini.Berapa lagi agaknya gol yang bakal bolos sekiranya keadaan masih tetap sama?


Pilihan Berkaitan:

Tiada ulasan:

Catat Ulasan